Kerakusan manusia punca bencana
TRAGEDI tanah runtuh berulang lagi. Secara kebetulan atau tidak, urutan kejadian tanah runtuh di negara ini berlaku dalam tempoh semasa musim hujan melanda pada Monsun Timur-Laut yang bermula dari bulan November hingga Mac. Malah seakan- akan menjadi satu kewajipan kita terpaksa bersedia menerima berita buruk akibat bencana tanah runtuh dan juga banjir apabila tiba setiap penghujung tahun.
Seperti lazimnya selepas kejadian tanah runtuh, maka pelbagai kenyataan. Amnya, semua pihak cuba menerangkan fenomena yang telah berlaku, dan ironiknya memberi syor-syor bagi kaedah mitigasi mengelakkan tanah runtuh daripada terus berlaku khasnya di kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi. Namun, bencana tanah runtuh ini berlaku semula dan tiada jaminan ia tidak akan berulang di masa akan datang.
Masyarakat umumnya peka bahawa kejadian tanah runtuh sering dikaitkan dengan kejadian hujan, tetapi mereka masih kurang pasti punca kejadian ini berlaku menyebabkan penilaian-penilaian yang dibuat dalam isu ini sering keliru. Sebenarnya, pendekatan dan teknik kejuruteraan sudah tersedia untuk memastikan kestabilan sesuatu cerun asli dan buatan atau gabungan kedua- duanya sekali. Walaupun sering diremehkan oleh pengamal kejuruteraan, namun kita perlu kembali kepada asas-asas kejuruteraan untuk memahami mekanisme kegagalan cerun disebabkan hujan sebelum menggunakan kaedah serta formula piawai dalam penganalisaan kestabilan cerun.
Pada asasnya, tiga parameter yang saling berkait perlu diambil kira dalam memahami kejadian tanah runtuh disebabkan oleh hujan iaitu keamatan hujan, jenis tanah dan struktur geologi. Di Semenanjung Malaysia, kadar keamatan hujan adalah dalam julat magnitud 10.6 hingga 10.7 meter persaat tetapi dalam keadaan luar biasa boleh mencapai sehingga 10.5 meter persaat yang mampu menerbitkan air larian permukaan cerun sehingga 30 peratus hingga 60 peratus daripada jumlah hujan yang juga bergantung kepada jenis tanah.
Beban
Berbeza dengan pergerakan air dalam tanah yang dipengaruhi oleh turus tekanan air pada setiap titik dalam tanah, air larian permukaan terbentuk apabila tanah tidak lagi berupaya menyerap air dan tanah berada dalam keadaan tepu sepenuhnya. Air larian ini berupaya meningkatkan beban dan tekanan, di samping menjadi agen hakisan utama di permukaan cerun yang mempunyai kekuatan lemah apabila berada dalam keadaan tepu.
Selain itu, keupayaan bagi penyerapan air hujan di dalam tanah pula dikawal oleh sifat kebolehtelapan sesuatu jenis tanah selain faktor-faktor luaran seperti tumbuh-tumbuhan di permukaan cerun. Hasil paduan durasi kejadian hujan, kadar keamatan hujan dan sifat kebolehtelapan tanah mempengaruhi jumlah dan kedalaman air hujan menyerap dalam tanah iaitu ia lebih banyak dan dalam bagi cerun tanah berpasir berbanding dengan cerun tanah liat.
Tanah berpasir yang mempunyai kebolehtelapan yang tinggi sehingga 10.4 meter persaat berupaya menyerap air hujan pada kadar yang lebih tinggi serta dalam masa yang sama menyerak tekanan air dalam tanah dengan lebih cekap dan cepat berbanding tanah liat. Oleh itu, kegagalan cerun lebih dalam dan berbahaya akan terbentuk pada cerun berpasir tetapi ia jarang berlaku disebabkan keadaan dan sifat awal tanah berpasir tidak jauh berubah semasa dan selepas kejadian hujan. Sebaliknya, kegagalan cerun bertanah liat yang cetek lebih senang berlaku seiring dengan pembentukan air larian permukaan yang banyak akibat sifat kebolehtelapannya yang rendah.
Walaupun struktur geologi jarang diambil kira dalam penganalisaan kestabilan cerun jika dibandingkan dengan geometri iaitu ketinggian dan sudut cerun, namun keadaan muka bumi dan pengunaan tanah juga mempengaruhi kestabilan cerun.
Kebolehtelapan tanah boleh meningkat mendadak dengan kehadiran ketakselarasan struktur geologi secara skala besar ataupun relik khasnya dalam cerun bertanah liat. Tambahan lagi, kehadiran ketakselarasan ini akan mengganggu taburan tekanan air menyebabkan ketidaktentuan pergerakan air dalam tanah. Tumbuh-tumbuhan pula yang tumbuh di atas cerun awalnya berfungsi secara langsung membantu keseimbangan cerun dengan menyerap kandungan lembapan di dalam tanah, tetapi sebaliknya menjadi beban ke atas cerun apabila ia terlalu besar dan padat. Apa yang perlu ditekankan proses-proses penyerapan air, pembentukan air larian permukaan dan kewujudan ketakselarasan struktur geologi adalah secara berperingkat dan mengambil masa yang lama.
Oleh itu, walaupun adalah sesuatu perkara yang sukar untuk meramal sesuatu kejadian tanah runtuh terutama apabila dan di mana ia akan berlaku tetapi lazimnya sebelum berlaku sesuatu kejadian tanah runtuh kita sebenarnya akan dapat perhatikan tanda- tanda awal pergerakan cerun yang tidak stabil seperti aliran air berlebihan dan terjadi jatuhan batu atau tanah secara kecilan dari permukaan cerun.
Kini persoalan yang timbul adalah jika pendekatan dan teknik kejuruteraan sudah tersedia untuk memastikan kestabilan cerun, kenapa kejadian tanah runtuh masih terus berlaku walaupun pelbagai garis panduan, peraturan dan penguatkuasaan bagi memantau setiap pembangunan baru khasnya di kawasan tanah tinggi diwujudkan selepas tragedi di Highland Towers pada tahun 1993. Malah selepas sesuatu tragedi tanah runtuh, siasatan demi siasatan telah dijalankan bersama-sama kajian ilmiah dan profesional dihasilkan bagi mengenalpasti punca kejadian tetapi saranan dan cadangan yang dimaju seolah-olah diketepikan.
risiko
Amatlah diharapkan saranan dan cadangan hasil siasatan dan kajian tersebut sepatutnya digunapakai bagi menghindari atau mengurangkan risiko kejadian yang sama berulang. Faktanya, kita tidak boleh menghalang satu lagi kejadian tanah runtuh yang amat dipengaruhi oleh faktor alam semulajadi tetapi kita boleh mengelak ia daripada bertukar menjadi satu lagi bencana atau tragedi. Pastinya tragedi tanah runtuh akan berlaku apabila prosedur dan dasar pembangunan terus diabaikan oleh pihak- pihak yang terlibat, malah dari satu sudut memperlihatkan kelemahan dan sikap tidak tegas pihak-pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka.
Tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak, jelasnya dalam setiap tragedi tanah runtuh mangsanya adalah komuniti pengguna sebaliknya yang mengaut segala laba adalah pemaju, manakala pihak berkuasa atau pihak berwajib pula tersepit dalam kemelut isu kebertanggungjawaban.
Oleh itu, langkah jangka pendek dan panjang perlu disusun untuk memastikan kejadian tidak berulang. Di antaranya, dasar- dasar pencegahan yang lebih serius perlu digubal. Pelan Induk Cerun Kebangsaan juga yang diuar-uarkan dijangka siap pada awal tahun depan diharap menjadi asas kepada setiap pembangunan baru di masa akan datang. Tambahan lagi, klausa dan skop kajian Kesan Penilaian Alam Sekitar dapat dikaji dengan beberapa langkah penambahbaikan serta pindaan dapat dilakukan bagi kelulusan projek yang berada di kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi berlakunya tanah runtuh. Namun yang lebih utama dan penting adalah semuanya ini tidak akan berguna jika segala garis panduan, peraturan dan mungkin undang-undang dapat diadakan tetapi tidak dipatuhi sepenuhnya akibat tindakan penguatkuasaan yang kurang cekap, telus dan mencukupi.
Akhirnya, kita amat bernasib baik kerana mempunyai kerajaan serta masyarakat prihatin yang sentiasa menghulurkan bantuan dalam setiap usaha menyelamat dan pemulihan dan lain-lain usaha bantuan kemanusiaan semasa dan selepas berlakunya sesuatu tragedi. Bagaimanapun, luahan rasa kesal dan kecewa oleh seluruh lapisan masyarakat ke atas tragedi tanah runtuh yang masih berulang amat difahami kerana kita ibarat memandu dalam bulatan di mana kita akan bergerak dan berhenti pada titik yang sama.
Kesimpulannya, kebanyakan tragedi tanah runtuh bukannya bencana alam, sebaliknya bencana rekaan manusia yang rakus merubah keseimbangan alam semula jadi kerana sifat tamak dan mementingkan diri sendiri oleh segelintir manusia atas nama pembangunan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Artikel ni dipetik daripada sumber Utusan Malaysia akhbar 14 Dis 08~Ahad
Mendengarkan kejadian sebegini berlaku, kita mesti rasa bersimpati. Apatah lagi yang mengalami. Ujian yang mereka alami ini pasti menyedarkan seluruh umat manusia yang kita manusia ini serba serbi kekurangan. Jadi, jangan tunjuk lagak pada pencipta alam dengan sewenang-wenang mengeksploitasi kekayaan BUMI ini dengan merosakkan alam sekitar ini.
Sebenarnya, dalam hati seorang PECINTA ALAM ini...terasa kesal..kesal dengan apa yang menimpa BUMI ini...sekarang..kita harus berusaha MELINDUNGI DAN MENYELAMATKAN BUMI KITA...
BUMI: aku sudah tua...wahai manusia...'HORMATILAH' aku yang telah tua ini...aku punya hati dan perasaan sepertimu....aku juga makhluk ALLAH...aku punya hak sepertimu...
apa agaknya perasaan kita bila BUMI ni boleh berkata2?...entahlah..tapi, inilah apa yang berlaku. SEBAB DAN AKIBAT.
16zulhijjah1429~ 4.00 pgi
KUATKAN HATI..
I