tangan yang mencatat, mendongak ke langit..

You will never love for it...until you know them well...
Tak kenal maka tak cinta...

Saturday, January 08, 2011

Rencah Penulis Baru;- keluar BHarian ;)

Belajar berjinak dengan isu dunia sastera, persekitaran
 oleh: Nazmi Yaakub
3 Januari 2011
 





PENULIS baru yang berjinak-jinak dalam penulisan kreatif perlu membuka minda dan pengetahuan mereka dengan isu dalam dunia sastera serta persekitaran, selain memilih bahan bacaan yang baik bagi membantu proses kepengarangan mereka.
Saranan itu diluahkan fasilitator yang membimbing 21 peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) di Port Dickson, baru-baru ini, yang turut meminta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengembalikan penerbitan antologi karya bekas peserta MPR.
DBP melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remajanya, turut diminta merancakkan acara sambutan jubli emas MPR pada tahun depan dengan mengadakan bengkel susulan bagi mempertemukan bekas peserta minggu penulisan terbabit.

Pensyarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Mohd Ridzuan Harun, berkata penulis baru termasuk peserta MPR bukan saja perlu mengambil tahu hal berkaitan isu sastera, bahkan sewajarnya pandai memilih bahan bacaan berkualiti yang berfungsi sebagai cermin dalam dunia dan proses kepengarangan mereka.

“Kelompok ini ada masa depan yang baik dalam bidang penulisan sekiranya pantas meneroka isu atau idea besar di persekitaran mereka dan menuangkannya ke dalam karya dengan cermat.

“Mereka juga perlu belajar daripada kelemahan dan kekurangan dalam karya mereka seperti didedahkan sepanjang mengikuti program ini, sekali gus menganggapnya sebagai proses untuk mematangkan karya,” katanya kepada Sastera selepas Majlis Penutupan MPR yang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Sallehuddin Abd Shokeran.
Mohd Ridzuan yakin bahawa masalah ketara pada penulis baru membabitkan pembacaan karya sastera apabila mereka menghadapi dilema dalam menentukan bahan bacaan bermutu dan sesuai sebagai sumber rujukan sehingga tidak dapat menilai karya sastera yang baik serta sesuai sebagai bahan bacaan.

“Sangat menyedihkan apabila ada yang menyatakan buku sastera di sekolah sangat kurang, tidak membaca karya Sasterawan Negara (SN) atau guru sekolah tidak menyebut pun karya SN. Ada juga yang kurang menyaring hal sekitar isu sastera tanah air dan isu utama negara sehingga tidak boleh melihat sesuatu perkara dalam kerangka lebih besar,” katanya.

pada majlis yang turut hadir Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Mohamad Yussop Ishak.

Mohd Ridzuan memberi contoh arahan urus setia dan fasilitator agar setiap peserta menulis cerpen dan puisi yang bertolak daripada tema patriotik, tetapi hasilnya ramai dari kalangan mereka yang terperangkap dengan makna patriotik.

“Sebahagian besar daripada mereka tidak mampu melihat patriotisme dalam skop yang lebih luas dan besar, sebaliknya mereka melihat patriotik hanya daripada sudut selapis serta tidak cuba untuk meneroka hal lebih besar berkaitan patriotisme.

“Di sinilah saya melihat kekurangan membaca dan ketidakpekaan terhadap hal semasa menyebabkan mereka tidak mampu mencapah idea kepada beberapa sudut yang besar walau pun tulisan mereka sebenarnya agak baik,” katanya.

Beliau turut menyarankan DBP untuk menerbitkan antologi karya MPR dan bengkel susulan sempena sambutan ulang tahun MPR ke-25 pada tahun depan, sekali gus menjadikan program itu lebih menarik dan memberikan dimensi dan warna baru kepada MPR.

Pandangan Mohd Ridzuan itu senada dengan saranan Ketua Fasilitator MPR, Salina Ibrahim yang meminta DBP mengusahakan penerbitan antologi karya peserta MPR kembali selepas penerbitan buku terbabit terhenti lebih 10 tahun kerana buku berkenaan menjadi antara faktor penguat motivasi kepada bekas peserta untuk terus berkarya.

“Penerbitan buku itu juga memberi asas yang baik kepada peserta MPR untuk bergerak dalam dunia sastera tanah air, sekali gus memperlihatkan peluang penerbitan karya sebenarnya sangat luas.

“Bagaimanapun, peserta MPR sendiri perlu memanfaatkan peluang yang mereka dapat ini sebaik mungkin dengan menghasilkan karya bermutu dan terus memperbaiki kualiti karya,” katanya yang juga novelis dan cerpenis.

Salina turut mengharapkan pihak DBP mengambil kira peserta MPR yang menyerlah dalam pemilihan peserta ke bengkel Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) dengan memberi penajaan sepenuhnya.

“Ini kerana pendedahan yang bakal mereka terima pada peringkat serantau dan antarabangsa memberi semangat dan membuka pemikiran dalam usaha meningkatkan mutu karya dan peribadi mereka sebagai pengarang.

“Saya juga berharap siri MPR diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penambahbaikan dengan membabitkan lebih ramai bekas peserta MPR yang lalu dalam memberi pandangan, idea dan sumbangan,” katanya.

Oeserta MPR, Tai Mun Kit, meminta kebolehan penulis daripada bangsa selain Melayu tidak dipandang rendah oleh masyarakat, manakala pengarang bukan Melayu pula perlu menjadikannya sebagai cabaran yang boleh membakar semangat mereka untuk berjaya dalam dunia penulisan.

“Saya ingin membuktikan walaupun saya berbangsa Cina, saya mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan penulis lain dalam dunia sastera kebangsaan dan tiada perkataan menyerah kalah dalam kamus hidup saya.

“Ini kerana saya percaya mata pena mampu bersuara lebih lantang berbanding pemidato dalam menolak sebarang fahaman songsang yang menular dalam masyarakat kini, sekali gus menjadikan tugas menulis bukanlah mudah atau boleh dipandang sebelah mata,” katanya.


----
pascaskrip:
 sebelum pergi MPR di Port Dickson tu, perasaan aye memang berkobar-kobar...bila habis MPR..hem...terfikir, pegi sana dengan duit rakyat tu bak kata cikgu2 di sana..menulis dah jadi suatu tanggungjawab buat kami..
memang tak sangka juga ye, keluar bharian, hari Isnin- 3 Januari 2011...itupun ayah yang bagitahu..;)
lepas ni, produk-produk DBP ni akan masuk sebahagian dunia penulisan..dan nak masuk sepenuhnya, kami harus berusaha dengan gigih...insyaAllah..

6 comments:

Kelab Kembar Malaysia said...

Moga terus maju dalam dunia penulisan!!

Anonymous said...

besh2!

Shukri Mohd Ali said...

selamat menulis!!! moga terus sukses!!! :D

fzamazlan said...

bro huszaini~terima kasih. Amin ;)

fzamazlan said...

tuan hamba shukri~
insyaAllah..begitu jua tuan hamba ;)

fzamazlan said...

Lelaki Ini~thanks